Latest News

Mangsa Bot Terbalik Disemadi Sebelah Pusara Isteri

Mangsa Bot Terbalik Disemadi Sebelah Pusara Isteri | KEMAMAN - “Makcik lega,” kata Zariah Awang Jusoh, 70, apabila mayat anak tunggalnya yang dihanyutkan arus deras semasa menaiki bot penyelamat untuk berpindah ke pusat pemindahan, akhirnya dijumpai kira-kira jam 12.10 tengah hari semalam, iaitu selepas 20 jam mayat menantunya ditemui. 

Mayat Suhaimi Awang, 37, ditemui tersangkut pada kayu dalam jarak 10 meter dari lokasi isterinya, Norhayati Sulong, 37, yang juga guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geliga dijumpai kelmarin. 

Dengan penemuan mayat kedua pasangan itu, enam anak pasangan malang itu, Nor Syafiqah Syahira, 12; Nor Izzah Insyirah, 11; Muhammad Irfan Irsyad, 9; Nor Intisar Izdihar, 4, dan Nor Adifa Arissa, 4 bulan, kini bergelar yatim piatu. 

Anak sulung hingga anak ketiga pasangan itu bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Chukai sementara anak keempat bersekolah di Pasti Kampung Mak Chili. 

Penemuan mayat itu juga memakbulkan hasrat Zariah untuk menatap buat kali terakhir wajah anaknya yang hilang bersama isteri sejak Rabu lalu selepas bot penyelamat yang dinaiki mereka terbalik. 

Bagaimanapun, Zariah yang ditemui selepas melakukan pengecaman ke atas mayat anaknya itu di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kemaman enggan mengulas lanjut kerana masih trauma dengan insiden berkenaan. 

Jenazah Suhaimi selamat disemadikan bersebelahan pusara isterinya selepas waktu solat Asar semalam, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jabor Kubur, Chukai. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, jenazah Suhaimi ditemui oleh pasukan skuba bomba dan Rescue Team Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman yang melipatgandakan pencarian di sekitar mayat pertama dijumpai. 

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari keempat ini dilakukan oleh 22 anggota polis, 25 anggota bomba dan 25 anggota tentera dengan menggunakan dua buah bot bomba, dua buah bot orang awam dan sebuah bot polis. 

“Oleh itu saya juga merakamkan penghargaan kepada semua pasukan penyelamat yang terlibat dengan operasi SAR ini. Dengan penemuan kedua-dua mangsa ini, operasi SAR ditutup secara rasmi pada jam 2 petang,” katanya. 

Bantu belajar hingga peringkat tertinggi 

Sementara itu, enam anak pasangan suami isteri itu akan dijadikan sebagai anak angkat kerajaan negeri dengan segala kebajikan serta pendidikan mereka akan ditanggung. 

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman berkata, beliau dan kerajaan negeri akan memastikan pendidikan kesemua anak arwah Norhayati Sulong, 37, dan Suhaimi Awang, 37, dibantu hingga ke peringkat pengajian paling tinggi. 

“Bantuan khas kepada anggota keluarga mangsa pula kita akan putuskan sebaik selesai urusan pengebumian,” katanya ketika menziarah waris mangsa di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kemaman, petang semalam. 

Mangsa pulang untuk tanda kertas SPM 

Pada masa sama, Ahmad Razif turut melahirkan rasa terharu dengan pengorbanan Norhayati yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geliga yang sanggup bergadai nyawa untuk pulang menanda kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang belum selesai ditanda di rumah, sebelum tragedi bot penyelamat terbalik berlaku. 

“Saya amat tersentuh dengan apa yang berlaku kerana saya dapat maklumat, Allahyarhamah Cikgu Norhayati ini pulang ke rumah semata-mata untuk menanda kertas SPM yang masih belum selesai ditanda. 

“Ini satu pengorbanan yang sangat besar. Beliau seorang guru yang hebat kerana tanpa memikirkan keselamatan, beliau tetap balik semula ke rumah untuk menanda kertas soalan SPM,” katanya. 

Dalam kejadian Rabu lalu, bot penyelamat yang dinaiki Norhayati, 37, dan suaminya serta tiga anggota bomba dan tiga mangsa banjir yang lain terbalik ketika dalam perjalanan ke pusat pemindahan di SMK Geliga. 

Sehari sebelum kejadian, pasangan berkenaan bersama enam anak mereka berpindah ke rumah keluarga di Taman Geliga Intan selepas rumah mereka di Kampung Geliga Che Akob mula ditenggelami air, sebelum pulang semula ke rumah mereka keesokan paginya. 

Norhayati merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik dan tinggal berdekatan dengan rumah kesemua adik-beradiknya. 

Tak rela berpisah 

Sementara itu, abang Norhayati, Ngazali, 58, berkata, meskipun seluruh keluarganya kini bersedih namun pengumuman menteri besar itu untuk menjadikan kesemua anak arwah sebagai anak angkat memberi sedikit kebahagiaan kepada mereka. 

“Namun, keenam-enam anak arwah ini tidak akan dipisahkan, biarlah saya dan adik-beradik lain menjaga mereka semua. Biarlah mereka membesar bersama dengan sepupu-sepupu yang sebaya mereka,” katanya. 

Malahan, anak sulung arwah, Nor Syafiqah Syahira ketika ditemui juga mengakui tidak sanggup berpisah dengan lima adiknya yang lain. 

sumber : kamithemedia.blogspot.com 

0 Response to "Mangsa Bot Terbalik Disemadi Sebelah Pusara Isteri"