Lesen AirAsia di Indonesia mungkin ditarik balik – Muratmodjo | KUALA LUMPUR: Kementerian Perhubungan Indonesia (KEMENHUB) akan menyiasat semua jadual penerbangan AirAsia Indonesia bermula Isnin sebagai salah satu langkah dalam siasatan kerajaan susulan nahas yang berlaku minggu lalu, lapor The Straits TImes.
Siasatan itu merupakan susulan daripada pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang hilang bersama 162 penumpang dan anak kapalnya Ahad lalu yang berkemungkinan terbang tanpa kebenaran.
“Kami akan menyiasat semua jadual penerbangan pesawat AirAsia,” kata Djoko Muratmodjo, pemangku pengarah di kementerian tersebut. “Siasatan itu akan dimulakan pada Isnin depan. Kita tidak akan memfokuskan kepada lesen, hanya jadual.”
“Ada kemungkinan lesen AirAsia di Indonesia ditarik balik,” tambah Muratmodjo.
Ia susulan tindakan Kementerian Perhubungan Indonesia (KEMENHUB) untuk membekukan buat sementara kebenaran penerbangan AirAsia Indonesia bagi laluan Surabaya- Singapura, berkuatkuasa semalam.
Lapor Kompas.com, tindakan itu diambil kerana AirAsia dikatakan melanggar surat kebenaran Ketua Pengarah Perhubungan Udara republik itu, bertarikh 24 Oktober 2014, yang sebelum ini hanya mengizinkan penerbangan dilakukan pada hari Isnin, Selasa, Khamis dan Sabtu.
Syarikat penerbangan berkata akan memberikan sepenuh kerjasama dalam siasatan tersebut dan enggan memberikan sebarang kenyataan sehingga siasatan selesai.
“Pelanggan yang telah menempah tiket penerbangan AirAsia Surabaya ke Singapura harus diganti dengan tiket penerbangan lain mengikut peraturan yang ada.” kata KEMENHUB.
Sumber: Astro Awani
0 Response to "Lesen AirAsia di Indonesia mungkin ditarik balik – Muratmodjo"